Wednesday, March 10, 2010

Ketua hak asasi Eropah kritik pengharaman burqa






STRASBOURG - Pesuruhjaya Majlis Hak Asasi Manusia Eropah, Thomas Hammarberg kelmarin mengkritik perintah larangan burqa ke atas wanita Islam.

Beliau ketika berucap di Strasbourg, Perancis sempena Hari Wanita Antarabangsa mendakwa tindakan mengharamkan burqa tidak akan membebaskan kaum wanita daripada penindasan, tetapi memberi kesan sebaliknya.

Menurutnya, larangan memakai burqa dan niqab adalah pencerobohan terhadap privasi seseorang individu.

"Pengharaman burqa dan niqab tidak dapat membebaskan wanita yang ditindas, tetapi kemungkinan besar menyebabkan mereka disisihkan dalam masyarakat Eropah," katanya.

Hammarberg berkata, golongan yang menyokong pengharaman itu tidak dapat membuktikan bahawa wanita Islam bertudung lebih kerap ditindas berbanding orang lain.

"Mereka juga gagal mengaitkan pemakaian tudung sebagai punca yang menyebabkan demokrasi dan moral awam terjejas," katanya.

Kenyataan beliau itu adalah reaksi kepada tindakan keras beberapa negara Eropah berhubung isu pemakaian tudung dalam kalangan wanita Islam di rantau itu.

Majlis Hak Asasi Manusia Eropah diasaskan pada 1949 untuk melindungi hak asasi manusia dan demokrasi di Eropah.

*dipetik dari Sinar Harian

No comments: